Pengenalan  

Posted in

Semenjak tahun 2003, apabila pelajar Muslim Malaysia buat pertama kalinya menjejakkan kaki mereka di Simferopol, Ukraine, mereka telahpun bergaul dengan komuniti masyarakat di sini termasuklah dengan kaum Muslim Tatar Crimea. Daripada apa yang telah mereka lihat dan alami daripada siri kunjungan dan lawatan mereka, mereka dapati bahawa kaum Muslim Tatar amat jauh ketinggalan baik dari aspek ekonomi, politik mahupun sosial berbanding dengan kaum-kaum lain di Ukraine walaupun jumlah keseluruhan mereka membentuk hampir 80 peratus daripada keseluruhan penduduk di Wilayah Autonomi Crimea, Ukraine.




Kemiskinan masih lagi menjadi masalah yang membelenggu masyarakat Muslim Tatar sementelahan mereka masih lagi bergelut untuk memenuhi keperluan asasi serta menyara kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi Ukraine turut tersenarai sebagai negara berpendapatan rendah pertengahan oleh Bank Dunia. Akibat diskriminasi, kebanyakan mereka hanya berupaya menjawat jawatan rendah dan berpendapatan purata sebanyak US$100 sebulan . Lebih malang lagi bagi golongan pesara dengan pencen hanya US$20 sebulan (Dibandingkan pendapatan mereka dengan harga daging bernilai US$12 sekilogram di pasaran, sekilogram daging bagi mereka ialah suatu nikmat yang amat besar!). Bagi sesetengah kawasan yang terlampau miskin, ibadah Qurban tidak dapat dijalankan kerana masing-masing tidak mempunyai kemampuan.




Memahami hakikat ini, pada 10 Oktober 2008, para pelajar Muslim Malaysia di Ukraine bersetuju untuk menubuhkan sebuah Sekriteriat Pelaksana Khidmat Rangkaian Aqiqah dan Qurban (QURBANBAYRAM) yang bertujuan untuk membantu masyarakat miskin Muslim di sini. Melalui program ini, para pelajar akan membantu mendapatkan sumbangan Aqiqah dan Qurban daripada seluruh dunia dan sumbangan itu seterusnya akan diagihkan kepada beberapa masjid dan kampung yang terpilih untuk menjalankan ibadah Qurban sempena Hari Raya Aidul Adha. Ia juga akan turut diagihkan kepada faqir miskin dan golongan yang memerlukan.



Program ini juga akan turut bekerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti Foundation for Human Rights and Freedoms and Humanitarian Relief (IHH) dari Turkey dan Interregional Association of Public Organizations (IAPO) “ARRAID” yang telahpun berpengalaman menganjurkan program Qurban sebelum ini. Daripada kepakaran dan pengalaman mereka, diharapkan program ini akan menjadi suatu realiti.

This entry was posted on Thursday 1 January 2009 at Thursday, January 01, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment